|
Dr Khairul Nizar Ismail |
|
Biodata : Dr Khairul Nizar Ismail |
|
Dilahirkan pada tahun 1970 dan merupakan anak sulung dari empat adik-beradik. Anak kepada pesara tentera ini dilahir di Alor Setar, Kedah. Beliau telah di kurniakan 3 orang cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan isteri beliau, Wan Eliza Wan Mohamed Noor yang merupakan seorang guru di SMK Perlis. Mengemari sukan lasak, badminton dan squash serta mempunyai hobi memancing ikan. Dr Khairul Nizar Ismail dibesarkan ala tentera di kem tentera dan sering berpindah berikutan tugas bapanya sebagai anggota tentera. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmud, Keluang Johor dan Sekolah Kebangsaan Desa Pahlawan, Kelantan. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan pada 1983.
Berbekalkan dengan keputusan SPM dan Matrikulasi, beliau telah melanjutkan pelajaran dalam program Sarjana Muda Perumahan, Bangunan & Perancangan pengkhususan dalam bidang Kejuruteraan Bangunan di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1989. Beliau seterusnya berkhidmat dengan firma perunding kejuruteraan iaitu Mustafa, Wong & Rakan-Rakan Sdn. Bhd yang beribu pejabat di Pulau Pinang. Sepanjang 5 tahun berkhidmat dengan firma ini, beliau terlibat merekabentuk dan menyelia projek pembinaan terutamanya dari sudut mekanikal dan elektrikal. Beliau pernah terlibat dalam projek–projek pembinaan seperti Stadium Negeri Batu Kawan, Pustaka Warisan Seni, Langkawi International Shooting Range (LISRAM), PUSPAKOM dan KEDA. Pada masa yang sama, beliau turut berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Teknologi Bangunan pada tahun 1996 di Universiti Sains Malaysia. Minat beliau dalam bidang pendidikan dan penyelidikan telah mendorong beliau untuk memperolehi biasiswa National Science Fellowship (NSF) dibawah tajaan Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah doktor falsafah. Beliau memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang bahan binaan pada konvokesyen ke 35 USM pada Ogos 2006. Kol Prof. Dato Dr Kamarudin Hussin merupakan salah seorang dari penyelia beliau semasa menyambung pengajian di peringkat kedoktoran.
Kerjaya beliau di UniMAP bermula pada 5 Mac 2003 dengan menjawat jawatan pensyarah dan Pengerusi Rancangan Program Metalurgi di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan. Beliau terlibat dalam membangunkan pusat pengajian terutamanya dari sudut fizikal dan pembangunan makmal-makmal. Beliau seterusnya dilantik sebagai Timbalan Dekan, PPK Bahan pada Mei 2003. Berdasarkan pengalaman beliau di PPK Bahan, beliau telah diberi kepercayaan oleh pihak universiti untuk membangunkan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar pada Januari 2006 dimana beliau telah dilantik sebagai Dekan pertama pusat pengajian tersebut. Disiplin diri dan menepati masa adalah merupakan prinsip hidup beliau. Aspek disiplin ketenteraan yang diperolehi beliau semasa mengikuti pasukan PALAPES pada tahun 1992 telah banyak membantu beliau dalam kehidupan. Bersabar dalam tugas, tenang dan merendah diri adalah sifat yang terserlah pada diri Dr Khairul Nizar. Beliau percaya kerjasama berkumpulan adalah satu teras penting dalam sesuatu organisasi dan aspek inilah yang telah beliau terapkan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar. Semua kakitangan pusat pengajian adalah satu keluarga besar dimana masing-masing mempunyai peranan dan tanggung jawab. Kerjasama berkumpulan akan wujud apabila kita saling menghormati dan membantu antara satu sama lain tanpa mengira pangkat, usia atau agama. Beliau berazam untuk menjadikan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar sebagai sebuah pusat pengajian yang disegani suatu hari nanti. Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh. |

|
Orang yang hebat bertindak sebelum berkata dan dia berkata selaras dengan tindakanya |



