>> Selamat Datang UniMAP

>>Klik Galeri ke gambar Majlis Perkahwinan Ikram dan Rozie.

 
 

Bismillah Hirrahman Nirrahim ...
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera

Edisi 1 Jun

Saudara/I yang dikasihi sekalian,

Setiap kali bersua dalam DMNC kita tidak pernah lupa untuk mengajak kesemua warga UniMAP untuk terus menerus memanjatkan rasa kesyukuran

 

kehadrat yang Maha Esa. Tujuan hanya satu supaya kita tidak lupa siapa diri kita, asal -usul kita kerana walau siapapun kita, apa pun status kedudukan mahupun pangkat kita, kerana kita semua sama sahaja di sisiNYA. Sebagai manusia ciptaanNYA tidak dinafikan kadang kala kita mempunyai kekurangan tetapi kita harus menjadikannya sebagai alasan untuk bangun bukan untuk terus duduk termenung dan berserah semata-mata.

Saudara/I sekalian,
Etika kerja, disiplin dan motivasi staf khususnya warga UniMAP adalah antara faktor-faktor utama yang menentukan kejayaan organisasi kita sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) di Malaysia. Staf yang beretika dan berdisiplin tinggi, sudah pasti akan dapat menyumbang ke arah mewujudkan suasana kerja yang ceria, harmoni dan cemerlang. Sebaliknya, staf yang beretika rendah serta kurang bermotivasi bukan sahaja akan menjejaskan imej, malah, akan melemahkan organisasi secara keseluruhannya.


Oleh itu, usaha secara berterusan amat perlu untuk meningkatkan kualiti etika kerja, disiplin dan motivasi setiap individu tenaga kerja yang terdiri daripada kita semua. Menjadi satu kewajipan bagi warga UniMAP agar menjadi lebih berupaya untuk melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan, produktif dan cemerlang.


Saudara/I sekalian,
Ingatlah pesan saya, sebelum memulakan tugas seharian, di bahu kita semua terpahat amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Tingkah laku kita akan sentiasa diterjemah atau mencerminkan kepada kesan yang dirasai bukan sahaja oleh UniMAP, malah masyarakat sekeliling. Sekiranya yang baik dikerjakan, maka baiklah yang terjana. Jika buruk yang dilaksanakan, maka buruklah hasilnya. Sesungguhnya, pekerjaan kita seharian mendambakan erti pengorbanan yang besar dan hargailah masa yang ada sebaik-baiknya. Teruskan berfikir dan berfikir untuk terus membangun dan memartabatkan nusa dan bangsa seterusnya negara yang tercinta.

" Berminda Strategis, Bertindak Progresif "

Sekian,

WASSALAM

Dari Meja Naib Canselor
Kol. Prof. Dato' Dr Kamarudin Hussin

1 Jun 2008


 
Copyright controlled by Pejabat Naib Canselor UniMAP 2007
All right reserved